Isu Tuntutan Waris Sultan Sulu : Sudut pandang Ahli Parlimen Belia Malaysia (Sabah) Aby Al Fahd Abdullah Sani





Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya kepada rakyat Sabah yang saya sayangi.
Pertama sekali untuk makluman semua saya menulis artikel ini adalah dari sudut pandang peribadi sebagai anak muda dan ingin saya tegaskan tulisan ini tidak sama sekali berkaitan dengan mana-mana parti dan ideologi politik sama ada kerajaan atau pembangkang. Saya akan cuba ringkaskan ilmu dan pengetahuan yang ada ini untuk dikongsikan kepada semua.
Saya ingin mengajak semua untuk berfikiran terbuka terutama sekali kepada masyarakat Sabahan.

| Kronologi Tuntutan Waris Sultan Sulu |

Pada tahun 1878 kesultanan sulu yang diwakili oleh Sultan Jamalul Alam & Syarikat Borneo Utara British diwakili oleh Alfred Dent Esquire dan Gustav Von Overbeck menandatangani perjanjian bagi Borneo Utara yang kini dikenali sebagai Sabah untuk diserahkan atau disewakan kepada syarikat British dengan ganjaran 5,000 dolar Malaya setahun. Tulisan perjanjian adalah dalam bahasa Melayu Jawi di mana kata kunci dari perjanjian tersebut jika diamati adalah sebagai “Pajakan” dan ditakrifkan dalam Bahasa melayu sebagai “gadaian” atau “sewaan”. Oleh yang demikian, wilayah Sabah pada hakikatnya telah digadaikan dengan sejumlah wang yang akan dibayar secara tahunan.

Pada tahun 1885 terdapat perjanjian yang dikenali sebagai Protokol Madrid 1885 antara British, Jerman dan Sepanyol di mana semasa penguasaan Sepanyol di Filipina negara tersebut dengan British telah menandatangani Protokol Madrid yang disaksikan oleh Jerman dan mengiktiraf kependudukan British serta melepaskan semua tuntutan ke atas Borneo utara (Sabah).

Pada tahun 1946 Kesultanan Sulu telah menyerahkan haknya ke ke atas Borneo Utara (Sabah). Oleh itu, pada 1957 Sultan Ismail Kiram menyampaikan pembatalan surat pajakan Perjanjian 1878 kepada British sekaligus Borneo Utara diserahkan kepada British. Semasa pertemuan Malaysia, Filipina dan Indonesia (MAPHILINDO) pada tahun 1963 wakil Filipina menyampaikan kepada wakil Malaysia pada ketika itu, Tunku Abdul Rahman bahawa sultan Sulu menuntut bayaran sebanyak 5,000 sebulan dari pemerintahan Malaysia berdasarkan perjanjian tahun 1878. Sejak dari itu, kedutaan besar Malaysia di Manila telah membayar sebanyak 5,300 sebulan kepada waris Kesultanan Sulu.

| Pencerobohon Lahad Datu pada tahun 2013 |

Pada tahun 2013 kedaulatan negara tergugat kerana berlakunya peristiwa pencerobohan di Lahad Datu. Pada ketika itu pentadbiran Malaysia di bawah Najib Razak. Beliau telah bertindak menghentikan pembayaran RM5,300 kepada waris Sulu. Tindakan tersebut dibuat tanpa notis dan pada kefahaman saya tiada sebarang permohonan secara rasmi dibuat di mana-mana Mahkahmah bagi menghentikanya. Namun, saya berpendapat bahawa Malaysia berhak menghentikan wang pembayaran kepada waris Sulu kerana Perjanjian 1878 tidak lagi berasas selepas Sabah bersama-sama membentuk Malaysia seperti mana Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Dalam pada itu, pada 2013 Najib Razak juga telah melancarkan ESSZONE atau Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah rentetan pencerobohan yang berlaku di bahagian pantai timur Sabah sebagai tambahan kepada ESSCOM, dan perintah berkurung yang membabitkan tujuh daerah berkenaan masih berkuatkuasa sehingga kini.

Berikutan dengan pemberhentian bayaran, Kesultanan Sulu beranggapan bahawa Malaysia telah melanggar perjanjian 1878. Mereka telah membawa kes ini kepada Penimbang Tara (International Arbitration) di Sepanyol. Untuk yang tidak tahu apa itu “Penimbang Tara”? Penimbang Tara boleh ditafsirkan sebagai prosedur dimana pertikaian dikemukakan antara syarikat atau individu yang berlainan negara ia adalah mekanisme antarabangsa untuk menyelesaikan masalah di luar mahkahmah domestik melalui pihak ketiga dan kebiasaannya terdapat peruntukan perjanjian. Oleh itu, firma guaman yang mewakili waris Sultan Sulu, momohon rundingan semula bayaran wang ihsan di bawah perjanjian 1878. Mereka telah memfailkan permohonan tersebut di Superior Court of Justice, Madrid bagi melantik penimbang tara dan Mahkahmah Madrid telah memutuskan untuk melantik Dr Gonzalo Stampa.

Pada tahun 2019, peguam negara Tommy Thomas menegasan Malaysia tidak terikat di bawah bidangkuasa perundangan Sepanyol. Namun, Malaysia menawarkan penyelesaian kepada waris Kesultanan Sulu untuk membayar semula jumlah wang tertunggak yang tidak dibayar sejak 2013, akan tetapi tawaran penyelesaian ini tidak dilayan oleh Waris Kesultanan Sulu. Pada tahun 2020, Mahkahmah Tinggi Sabah dan Sarawak membuat keputusan tidak memihak kepada pihak yang menuntut dengan memutuskan Perjanjian 1878 tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara. Mahkahmah Kota Kinabalu juga telah memutuskan bahawa Mahkahmah Malaysia yang sepatutnya menyelesaikan pertikaian yang timbul bukannya mahkahmah Sepanyol merujuk surat ikatan 1878 dan pada tahun yang sama Penimbang tara Dr Stampa memgeluarkan Partial Award on Jurisdiction.

Pada tahun 2021, Mahkahmah Arbitrasi Perancis merekodkan keputusan Dr Stampa bahawa Malaysia perlu membayar RM62.59 billion kepada waris terakhir Sultan Sulu kerana melanggar perjanjian 1878. Namun, Mahkahmah Tinggi Madrid telah membatalkan pelantikan Dr Stampa dan memutuskan semua prosiding timbang tara serta keputusannya termasuk Final Award adalah tidak sah, terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan. Dalam pada itu, waris sultan sulu memperoleh perintah Exequatur secara ex-parte atau sebelah pihak daripada Tribunal de Grande Instance di Paris yang mengiktiraf “Partial Award” dan membenarkan Dr Stampa memindahkan tempat prosiding timbang tara ke Paris. Kerajaan Malaysia pula telah bertindak mencabar Perintah secara ex-parte itu dan memperoleh perintah penggantungan daripada First President of the Paris Court of Appeal. Pada Julai 2022, Mahkahmah Rayuan Paris membenarkan Malaysia untuk menggantungkan penguatkuasaan Final Award dikeluarkan Mahkahmah Arbitrasi Paris.

| Sudut Pandang Isu Tuntutan Waris Kesultanan Sulu |

Jika anda semua membaca tulisan saya dari awal sehinggalah kepada perenggan terakhir yang menyebut Mahkahmah rayuan Paris membenarkan Malaysia untuk menggantungkan penguatkuasaan Final Award tersebut saya yakin sudut pandang, pendapat dan perspektif anda mengenai penolakan Isu Tuntutan Sulu dalam perbahasan di Parlimen pada 18 Julai 2022 akan berbeza. Sekali lagi saya ingin tegaskan untuk membuka minda anda mengenai isu ini. Fahami setiap kronologi dan peristiwa yang berlaku jangan termakan umpan dari individu yang memainkan isu ini dengan retorik yang akan membawa kita kepada persengketaan. Saya anak jati Sabah, jelaslah isu ini sangat penting bagi saya lagi-lagi melibatkan kedaulatan negara dan negeri saya sendiri. Akan tetapi sebagai rakyat Malaysia dan orang muda kita seharusnya tahu menilai bukannya terus melatah dan menyokong apa saja kita rasa benar tanpa menilai dan mengetahuinya terlebih dahulu, kerana jika kita tidak berbuat demikian terdapat pihak atau individu yang akan menggunakan isu ini untuk kepentingan mereka sendiri. Saya labelkan mereka sebagai Populist yang mana Populisme ini merupakan individu yang berusaha merayu kepada masyarakat kerana kebimbangan mereka tidak diendahkan oleh pihak yang berkuasa. Golongan ini cuba untuk menjadi hero dan popular kerana membawa isu yang mewakili pendapat orang ramai dan akan menggunkannya untuk kepentingan peribadi dan kerjaya. Oleh yang demikian, saya berharap dan ingin tekankan sekali lagi untuk tahu menilai dan jangan cepat emosi dalam suatu hal.

Membahas mengenai isu penolakan usul, pada sudut pandangan saya jika kita ikuti dan fahami kronologi prosiding kes ini dari awal hingga kini, tiada keperluan untuk membahaskan isu ini pada masa sekarang kerana Mahkahmah Paris baru sahaja membenarkan kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award, jika perbahasan dibenarkan sekarang di Parlimen ia akan bersifat Subjudis. Subjudis adalah satu terma undang-undang yang bermaksud kes tersebut sedang berada dalam perbincangan dan tidak boleh dibincangkan di ruang awam kerana masih berada dalam pertimbangan Mahkahmah. Bayangkan kita berbahas mengenai isu tuntutan ini di Parlimen malaysia walhal terdapat keputusan mahkahmah yang merekodkan negara kita pelu membayar RM62.59 billion kepada waris sultan sulu dan kita berbahas di dalam dewan rakyat mengenai kes tersebut maka segala strategi kerajaan akan diketahui oleh pihak yang menuntut, mungkin juga mereka akan mengkritik dan setiap kata ucapan perbahasan yang dibahaskan oleh ahli parlimen kita akan dapat menguatkan lagi tuntutan mereka. Hal ini secara tidak langsung akan merosakkan segala perancangan yang telah dilakukan lebih-lebih lagi negara kita telah mendapat rayuan mengenai penggantungan penguatkuasaan Final Award. Jika perbahasan dibenarkan pada masa sekarang bukankah ianya akan merosakkan segala perancangan yang telah dilakukan oleh kerajaan? Segala perbahasan di Parlimen semestinya akan dipantau oleh peguam Sulu. Jangan tergesa-gesa sehingga menjejaskan perancangan pasukan perundangan negara kita.


Wassalam,
Aby Al Fahd Abdullah Sani
Ahli Parlimen Belia Malaysia
Kelab Belia Perdana Semporna

Comments

Popular posts from this blog

Analisis Awal N66 Bugaya - Ahli Parlimen Belia Malaysia : Aby Al Fahd Abdullah Sani

Ahli Parlimen Belia Malaysia (Sabah) Kecewa Calon BN di Pantai Timur Sabah | Surat Terbuka